DEFINASI
Dari segi bahasa atau etimologi, jiran berasal daripada bahasa Arab yang membawa pengertian orang yang tinggal bersebelahan atau tetangga.
Dari segi istilah jiran adalah orang-orang yang tinggal bersebelahan dengan rumah, bersebelahan kampung, daerah malahan lebih besar daripada itu iaitu jiran yang bersebelahan dengan negara. Jiran juga bererti ahli-ahli 40 buah rumah setiap penjuru yang mengelilingi rumah individu. Hal ini sebagaimana hadith riwayat Abu Daud, telah bersabda Rasulullah s.a.w iaitu :
Maksudnya : “Empat puluh buah rumah tetap sebagai jiran tetangga”.
Berdasarkan kepada hadith Rasulullah s.a.w menunjukkan bahawa walaupun jarak daripada rumah seseorang diselangi 40 buah rumah, ia juga dikira sebagai jiran tetangga. Menurut Ali Ibn Talhah daripada Ibnu Abbas, jiran membawa pengertian hubungan kekeluargaan atau pertalian darah. Jiran juga boleh dikatakan sebagai apabila penempatan itu dihuni oleh manusia yang lain yang juga tinggal berhampiran dengan rumah yang dihuni oleh kita.
PEMBAHAGIAN JIRAN
Islam membahagikan jiran kepada beberapa bahagian iaitu jiran beragama Islam yang mempunyai pertalian darah, jiran beragama Islam yang tidak mempunyai pertalian darah dan jiran bukan Islam. Dalam erti kata lain jiran jauh dan dekat. Hal ini sebagaimana firman Allah s.w.t dalam surah an-Nisaa’ ayat 36 iaitu :
Maksud-Nya : Sembahlah Allah dan janganlah kamu mempersekutukan-Nya dengan sesuatupun. dan berbuat baiklah kepada dua orang ibu-bapa, karib-kerabat, anak-anak yatim, orang-orang miskin, tetangga yang dekat dan tetangga yang jauh[3] dan teman sejawat, ibnu sabil[4] dan hamba sahayamu. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang sombong dan membangga-banggakan diri.
HAK JIRAN YANG WAJAR DIPELIHARA :
1) Tidak menyakiti jiran dan memelihara keamanan dengan jiran
Menyakiti jiran ialah satu dosa yang besar dan menjadikan seseorang dimurkai oleh Allah swt. Ini berdasarkan sabda baginda rasulullah :
“Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat maka janganlah dia menyakiti jirannya” .(hadith sahih riwayat Bukhari no. 5787 dan Muslim no.47).
Perbuatan menyakiti jiran ini adalah dilarang baik dengan perbuatan, perkataan dan lisan juga dengan cara dan sikap yang ditunjukkan dan tidaklah menjadi seorang yang benar-benar beriman di sisi Allah bagi mereka yang bermusuhan dengan jirannya.
Daripada Abi Hurairah ra yang berkata telah bertanya kepada nabi salallahualaihiwasalam akan perihal seorang perempuan yang sesungguhnya dia itu berpuasa siang dan mendirikan solat malam tetapi menyakiti jirannya dengan lisannya maka dijawab oleh baginda :
“ Tidak ada kebaikan baginya dan dia itu berada di neraka” dan ditanyakan kepada baginda akan perihal seorang perempuan yang lain yang bersolat sekadar yang wajib dan berpuasa ramadhan dan bersedekah tetapi tidak menyakiti jirannya maka dijawab : “Maka dia berada di syurga”.
(hadith sahih riwayat Ahmad no. 9673 dan Ibn Hibban no. 5763 dan Bukhari dalam Adabul Mufrad no. 119 dan Hakim no, 7304 dengan sahih Isnad dan disepakati oleh Adz-zahabi).
2) Menghormati Jiran dan pengamalan mereka (kehidupan mereka) selama tidak membawa mudharat
Memuliakan jiran termasuk kewajipan dan menghormati mereka ialah perintah dari Allah serta termasuk salah satu tanda keimanan. Sekalipun jiran tersebut bukanlah beragama Islam maka menghormati dan tidak menganggu kehidupan dan pengamalan mereka misalnya ibadah mereka dalam agama mereka seperti yang dilakukan oleh orang-orang Cina dengan meletakkan tokong di luar rumah maka hendaklah dihormati selama tidak membawa bahaya dan mudharat.
Baginda rasulullah bersabda : “ Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat maka hendaklah dia memuliakan jirannya” atau dalam riwayat yang lain menyebut “ hendaklah berlaku baik kepada jirannya”.
(hadith sahih riwayat Bukhari no.5673 dan Muslim no. 47,48).
Adapun bagi jiran yang beriman dan beragama Islam maka sekiranya jiran itu melakukan maksiat dan dosa serta kehidupannya tidak menuruti syariat Islam maka hendaklah didakwahkan dan berusaha dibimbing dengan nasihat dan teguran.
Sebaik-baik amal makruf dan mencegah mungkar itu ialah di dalam keluarga sendiri dan kemudian kepada jiran yang berdekatan. Menegur dan menasihati jiran dengan kebaikan dan kasih sayang, membimbing mereka kepada syariat Allah dan mencegah mereka dari melakukan maksiat ialah sebaik-baik dakwah dan cara memuliakan mereka.
3) Memberi layanan baik dan kasih sayang serta akhlak yang baik dalam muamalah dengan mereka
Islam mementingkan hubungan mesra dan layanan baik kepada jiran dan ini terlihat dari banyak panduan dari hadith baginda antaranya ialah daripada riwayat Abu Dzar ra yang menyebut telah bersabda rasulullah :
“Wahai Aba Zar sekiranya engkau memasak maraq (sejenis makanan berkuah seperti sup) maka banyakkanlah kuahnya dan berikan kepada jiran engkau”.
(hadith sahih riwayat Muslim no. 2625).
Juga daripada riwayat Abdullah ibn Amru ibn As ra yang menyebut bahawa baginda rasulullah pernah menyembelih kambing lalu bersabda :
”Apakah kamu sudah memberikan hadiah sebahagian dari daging tadi kepada jiran kita yang merupakan si yahudi itu ?” diulang sebanyak tiga kali oleh baginda.
(hadith sahih riwayat Abu Daud no. 5152 dan Tirmidzi no. 1943 dengan menghasankannya dan Ahmad no. 6496).
4) Membantu dan menolong mereka apabila dalam kesusahan
Termasuk di antara hak dan kewajipan seseorang terhadap jirannya ialah membantu dan berusaha mengurangkan beban jirannya yang kesusahan sekadar mampunya.
Rasulullah bersabda : “Bukanlah orang yang beriman sekiranya dia kenyang seorang diri sedangkan jiran disebelahnya kelaparan” dan dalam riwayat lain menyebut “ Tidaklah beriman kepadaku orang yang kenyang sedangkan jirannya kelaparan disebelahnya dan dia mengetahui keadaan jirannya itu”
(hadith sahih riwayat Bukhari dalam Adabul Mufrad no. 112 dan Baihaqi dalam Sunan Kubra no. 19452 dan Hakim no, 7307 dengan isnad yang sahih dan disepakati oleh Adz-zahabi dan berkata Hafidz Al-Munziri bahawa rijalnya siqah).
Islam menetapkan bahawa hendaklah jiran itu membantu sekadar mampu dirinya untuk meringankan beban dan tekanan yang dihadapi dari kesusahan oleh jirannya dan demikianlah Islam berusaha memberi pertunjuk sedapat mungkin ke arah mencapai bahagia.
5) Menjaga rahsia dan memelihara kepentingan mereka serta tidak berlaku khianat
Disebalik berusaha melakukan kebaikan kepada jiran dan membantu jiran maka seseorang itu juga harus berusaha mengelakkan dari mencederakan jirannya dan berlaku khianat serta membocorkan rahsia dan keaiban dari jirannya.
Hendaklah seorang yang beriman itu melindungi jirannya dari perkara yang membawa bahaya dan mudharat serta tidak menyerahkan mereka kepada musuhnya. Ini berdasarkan sabda baginda rasulullah yang menyebut :
“Tidaklah masuk syurga orang yang tidak mengamankan jirannya dari sesuatu yang boleh membahayakannya” dan dalam riwayat lain “ orang yang tidak menyelamatkan jirannya dari sesuatu yang memudharatkannya” .
(hadith sahih riwayat Bukhari no. 5670 dan Muslim no. 46).
Memelihara jiran dari sesuatu yang bahaya, juga bermaksud tidak menyerahkan mereka kepada musuh dan membelot kepada mereka serta juga tidak membiarkan mereka tanpa amaran apabila adanya bahaya mendekati mereka.
Berlaku khianat kepada jiran boleh terjadi dengan cara membocorkan rahsia jiran yang boleh memalukan mereka, mencederakan maruah atau nyawa mereka dan harta benda mereka. Bahkan pelbagai cara boleh berlaku dan yang paling buruk dan jahat serta keji di sisi Allah ialah mengkhianati jiran dengan melakukan keburukkan kepada ahli keluarga mereka.
Sabda rasulullah : “Sesungguhnya seorang lelaki itu berzina dengan sepuluh orang wanita adalah lebih ringan baginya daripada berzina dengan isteri jirannya” demikian juga apabila ditanya tentang mencuri maka dijawab : “Mencurinya seseorang itu daripada sepuluh buah rumah lebih ringan baginya daripada mencuri dari rumah jirannya” .
(hadith sahih riwayat Ahmad no. 23905 dan Bukhari dalam Adabul Mufrad no. 103 dan tibrani dan berkata Hafidz Al-Munziri perawinya siqah).
KESIMPULAN
Hak kejiranan dan panduan yang diberikan oleh Islam tidak lain ialah untuk mencapai apa yang disebutkan sebagai salah satu daripada kebahagiaan dan keamanan dalam hidup.
Sabda rasulullah s.a.w : “Empat perkara daripada tanda kebahagiaan ialah perempuan yang solehah, tempat tinggal yang lapang dan jiran yang baik serta memiliki kenderaan yang selesa dan empat tanda daripada keburukkan (kesusahan atau derita) ialah memiliki jiran yang jahat, isteri yang tidak baik, serta tempat tinggal yang sempit dan kenderaan yang buruk” .
(hadith sahih riwayat Ibn Hibban dalam sahihnya no. 4032 dan Abu Nuaim dalam Hilyatul Auliya no. 388 Jilid 8 dan isnad hadith ini sahih dengan menepati syarat Syaikhain diriwayatkan juga oleh Ahmad m/s 1445 Jilid 1 dan Hakim no. 2640 dan Bazzar serta Tibrani dengan lafaz yang hampir sama).
Jiran merupakan teman sekehidupan yang berada berhampiran dengan kehidupan kita seharian dan mereka mempengaruhi keselesaan dan persekitaran hidup diri kita dan ahli keluarga. Bagi yang mempunyai anak-anak, jiran dapat menjadi teman dan contoh kepada perkembangan anak-anak dan persekitaran yang terbentuk memberikan kesan kepada masa depan mereka.
Memiliki jiran yang beragama dan soleh dapat mempengaruhi kehidupan anak-anak dan memberikan contoh serta persekitaran yang selamat serta selesa kepada ahli keluarga. Juga dengan memenuhi tanggungjawab dan peranan sebagai jiran yang baik merupakan salah satu daripada tanda keimanan dan contoh kebaikan kepada diri sendiri dan keluarga.
Tidaklah bergelar muslim yang baik dan benar apabila seseorang itu memiliki nama terkenal dan berceramah atau melakukan dakwah tabligh ke masjid-masjid dan rumah orang lain sedangkan jirannya sendiri tidak didakwah dan kewajipan kepada ahli keluarga dan jiran yang berhampiran pun tidak dipenuhi.
Islam itu mementingkan hubungan kemanusiaan yang baik dan menghimpunkan di antara keimanan kepada Allah dan hari akhirat dengan kelakuan baik serta akhlak dan budi perkerti mulia terhadap insan dan hamba Allah yang lain.
No comments:
Post a Comment